suria

Tiada Keperluan Prosiding Waktu Malam Kendalikan Kes Syariah Di Kelantan

KUALA KRAI: Kelantan akan menambah seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa terdekat bagi menampung keperluan mengendalikan kes membabitkan undang-undang syariah di negeri ini, kata Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohamad.

Dengan penambahan itu, ia menjadikan seramai tiga hakim Mahkamah Tinggi Syariah berkhidmat di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya, setakat ini tiada keperluan bagi Mahkamah Syariah untuk mengendalikan prosiding mahkamah pada waktu malam sebagaimana dilakukan di Kuantan dan Petaling Jaya.

"Penambahan seorang lagi hakim dianggap sudah mencukupi untuk menampung mengendalikan kes membabitkan undang-undang syariah di negeri ini, tanpa perlu prosiding diadakan pada waktu malam," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau diminta mengulas sama ada Mahkamah Syariah Kelantan perlu mengadakan prosiding pada waktu malam sebagai di Kuantan dan Petaling Jaya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dilaporkan bersidang pada Rabu malam sebagai usaha mempercepatkan penyelesaian kes-kes tertunggak.

Sidang mahkamah pada sebelah malam itu difahamkan merupakan yang kedua dilaksanakan di negara ini selepas Petaling Jaya, Selangor yang berbuat demikian.

"Tiada keperluan mendesak di Kelantan untuk mengadakan persidangan mahkamah syariah pada waktu malam kerana tidak banyak kes tertunggak yang perlu diselesaikan," katanya.

Katanya, pihaknya telah mengambil pendekatan melanjutkan tempoh hakim Mahkamah Tinggi mendengar kes hingga ke petang berbanding sebelum ini hanya pada sebelah pagi.

Beliau berkata pendekatan tersebut dilakukan sejak dua tahun lepas apabila mendapati ada kes tertunggak yang perlu diselesaikan memandangkan hanya dua hakim sahaja yang bertugas.

Tanpa menyebut bilangan kes, Daud bagaimanapun berkata lebih 80 peratus kes di Mahkamah Syariah dapat diselesaikan mengikut jadual. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain