suria

PAS Perlu Perjelaskan Konsep Negara Kebajikan - Nor Yakcop

KEPALA BATAS: PAS perlu memperjelaskan dan menghuraikan konsep negara kebajikan yang akan diamalkan oleh parti itu kepada rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Katanya PAS perlu perjelaskan konsep itu kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja sudah lama mengamalkan konsep negara kebajikan sebaliknya mempunyai nilai tambah iaitu transformasi ke arah negara maju menjelang 2020.

"Jadi saya dan rakyat nak juga tahu negara kebajikan yang bagaimana mereka (PAS) cuba amalkan," kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sewa rumah di sini Sabtu.

Nor Mohamed, yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor, berkata demikian ketika mengulas dasar perjuangan baru PAS dari negara Islam kepada negara berkebajikan seperti yang dicanangkan parti itu pada Muktamar PAS ke-57, minggu lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan bantuan bayaran sewa rumah sebanyak RM162,192 kepada 109 ketua isi rumah di Pulau Pinang untuk tahun ini.

"Setiap keluarga akan menerima sebanyak RM1,488 dan mereka merupakan keluarga yang tersenarai dalam sistem e-Kasih di bawah kategori miskin tegar dan miskin bandar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain