suria

Lelaki Indonesia Dijumpai Mati Dengan Terdapat Lapan Kesan Tikaman

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Indonesia ditemui mati dengan lapan kesan tikaman pada badannya di sebuah bilik pekerja di tapak pembinaan kondominium di kawasan Taman Melati, Wangsa Maju di sini, Sabtu. Mangsa yang berumur 30 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang pekerja kira-kira 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan di dalam bilik itu sebelum mangsa ditikam dengan senjata tajam.

"Melihat keadaan bilik yang bersepah, telah berlaku satu pergaduhan di dalam bilik itu dan kita percaya mangsa diserang lebih daripada seorang suspek," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) Sabtu.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati motif pergaduhan itu dipercayai berkaitan dengan seorang wanita. "Kita (polis) percaya pergaduhan itu melibatkan seorang wanita kerana pemeriksaan di dalam bilik itu, kita jumpa satu pasport dan sepasang kasut yang kedua-duanya milik wanita berhampiran mangsa," katanya.

Zakaria berkata setibanya di lokasi, polis mendapati semua bilik di rumah kongsi itu telah kosong kerana penghuninya telah melarikan diri.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci untuk mengesan suspek dan mencari motif sebenar pembunuhan itu.

"Siasatan di lokasi kejadian telah dibantu oleh Unit Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Unit Anjing Pengesan. Setakat ini tiada sebarang tangkapan dan tiada senjata dijumpai dilokasi kejadian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain