suria

JKM Salur Bantuan Kebajikan RM1.2 Bilion Tahun Lepas

MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan berjumlah RM1.2 bilion kepada 417,552 penerima di seluruh negara pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM73.6 juta disalurkan kepada 23,258 penerima di Melaka.

"Pada tahun ini, kerajaan akan menyalurkan lebih RM1.2 bilion bantuan kebajikan ke seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis mesra kementeriannya dan Masyarakat Bersama Pemimpin Komuniti Cina Melaka di Ayer Keroh, Sabtu.

Beliau berkata sebanyak RM75 juta diperuntukkan kepada Melaka dan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, JKM menyalurkan RM32.7 juta bantuan kepada 31,660 penerima di negeri itu.

Katanya, daripada peruntukan itu, sebanyak RM27.5 juta daripada kerajaan persekutuan manakala bakinya kerajaan negeri Melaka.

"Kementerian menyalurkan bantuan ini dengan konsep 'kebajikan produktif' di mana penerima bantuan akan dibimbing untuk memajukan diri mereka dengan pelbagai program, antaranya program 1Azam yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.

Heng berkata selain itu, kementerian mempunyai program geran pelancaran dan penerima akan membuka perniagaan sendiri, dan sehingga kini, sejumlah RM42,720 disalurkan kepada 17 penerima di Melaka.

Beliau berkata langkah Melaka menubuhkan Koperasi Bela Masyarakat (Kobemas) untuk membela nasib orang miskin di negeri itu perlu dipuji dan diikuti setiap negeri di Malaysia.

"Saya difahamkan Kobemas sedang melaksanakan projek, antaranya penanaman kelapa pandan di kawasan seluas 20 ekar (lebih 80 hektar) dan merancang untuk membina sebuah hotel di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, projek itu baik dilaksanakan untuk menambah pendapatan Kobemas, seterusnya membela nasib orang miskin di negeri ini," katanya.

Kobemas dilancarkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 12 Ogos tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain