suria

Dua Pemancing Ditahan Ceroboh Kawasan Taman Laut Pulau Segantang

ALOR SETAR: Dua pemancing warga tempatan ditahan Jabatan Taman Laut Negeri Kedah kerana didapati memancing ikan di kawasan Taman Laut Pulau Segantang dekat Pulau Langkawi, awal Jumaat.

Pengarah Jabatan Taman Laut Kedah, Mohd Nizam Ismail berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki terbabit kira-kira pukul 7 pagi tadi, setelah menjalankan intipan di kawasan Taman Laut Pulau Payar, Pulau Segantang dan pulau-pulau berhampiran yang menjadi kawasan larangan menangkap ikan.

"Ketika bot kami menghampiri sampan pemancing terbabit, mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan didapati mereka menangkap lima ekor ikan kerapu, seekor ikan merah, empat ekor ikan jenahak serta seekor ikan alu-alu dengan harga pasaran bernilai lebih RM500.

"Pemancing gemar memancing di kawasan ini kerana mempunyai ikan gred A dan harga pasaran yang tinggi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat Jabatan Taman Laut Negeri di sini.

Katanya, perbuatan mereka mengganggu ekosistem di kawasan terumbu karang.

Mohd Nizam berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, seramai 34 orang telah ditahan pihaknya kerana menceroboh kawasan Taman Laut Pulau Payar yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan memancing ikan sejak 1989.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 41(1) Akta Perikanan 1985 boleh dikenakan denda minimum RM500 atau maksimum RM2,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain