suria

Cubaan Seleweng Diesel Guna Lori Angkut Tanah Dipatahkan Di Shah Alam

SHAH ALAM: Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor pada Jumaat berjaya membongkar kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi menggunakan lori mengangkut tanah di sebuah stesen minyak di Bukit Kemuning di sini.

Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata pihaknya menyerbu stesen minyak itu pada pukul 8.30 pagi tadi setelah mendapat maklumat daripada orang awam mengenai tindakan mencurigakan dua pemandu lori yang berhenti mengisi diesel di stesen minyak berkenaan.

Ketika serbuan itu dilakukan pihaknya mendapati bahawa pemandu salah satu lori berkenaan sedang mengisi diesel subsidi di dalam tangki manakala sebuah lagi belum sempat diisi dengan diesel, katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan anggota penguatkuasa mendapati salah sebuah lori itu telah diisi dengan hampir 600 liter diesel subsidi yang bernilai RM1,080 yang dipercayai untuk dijual menerusi pasaran gelap kepada pihak industri.

"Malah kita juga dapati tempat mengisi tanah kedua-dua lori berkenaan telah diubah suai sebagai tangki diesel yang mana bahagian atasnya ditutupi dengan batu kerikil sebagai taktik untuk mengelirukan pihak berkuasa.

"Taktik seperti ini dibiasa dilakukan oleh mereka yang mencuri diesel subsidi. Kita anggarkan tangki yang diubah suai bagi kedua-dua lori ini mampu memuatkan 5,000 liter diesel," kata Othman.

Beliau berkata pada masa yang sama, pihaknya turut menahan dua pemandu lori berkenaan masing-masing merupakan warga tempatan berusia 43 tahun dan 55 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala bagi syarikat denda maksimum adalah sebanyak RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain