suria

Salmiah Diiktiraf Wanita Pertama Di Dunia Kendali Jentera Pembersihan Jalan

SHAH ALAM: Kakitangan Alam Flora Sdn Bhd, Salmiah Mat Saad, 49, menerima pengiktirafan daripada syarikat pembekal jentera dan logistik yang berpangkalan di Switzerland, Buchaer-Schorling sebagai pemandu jentera pembersihan jalan wanita pertama di dunia.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia amat gembira dan tidak menduga terpilih untuk mendapat pengiktirafan daripada salah sebuah syarikat terkemuka dunia.

"Saya amat terkejut dan tidak sangka menerima pengiktirafan ini. Saya dimaklumkan pada petang Khamis supaya berpakaian kemas bagi menghadiri satu majlis, hari ini.

"Saya anggap tugas ini sebagai tanggungjawab harian. Syukur... saya akan sentiasa berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan mutu kerja saya, " katanya pada sidang media di Wisma DRB-Hicom di sini, Jumaat.

Menurut Salmiah, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat kepada dirinya untuk membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu menandingi keupayaan lelaki.

"Perasaan takut terpaksa dibuang jauh-jauh kerana tugas ini menuntut kesabaran, fokus dan kemahiran tinggi. Saya juga tiada masalah untuk melakukan tugas yang rata-ratanya didominasi golongan lelaki," jelasnya.

Bagi Salmiah, gender tidak menjadi penghalang kepada dirinya untuk melaksanakan tugas lasak ini dengan sempurna sama seperti rakan sekerja lelaki yang lain.

"Saya percaya golongan wanita juga boleh melakukan kerja lasak. Tiada apa yang mustahil cuma kita perlu berani dan komited terhadap tugas yang diamanahkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohd Zain Hassan berkata pihaknya dalam perancangan untuk menambah bilangan pemandu jentera pembersihan jalan di kalangan wanita.

"Kita akan beri peluang pekerjaan kepada lebih ramai wanita dalam bidang itu. Baru-baru ini kita telah mengadakan program latihan dan maklum balas yang diterima amat menggalakkan," ujarnya.

Mohd Zain berkata, rancangan terhadap penambahan pekerja itu akan dilakukan demi meningkatkan tahap operasi pembersihan di pusat bandar sekitar Kuala Lumpur dan beberapa bandar lain. Jelas Mohd Zain, syarikat kendaliannya itu mempunyai 10 pemandu jentera pembersihan jalan di sekitar Kuala Lumpur, seorang daripadanya adalah wanita.

Artikel Lain