suria

Polis Selangor Rampas Syabu RM4.6 Juta

KUALA LUMPUR: Polis Selangor berjaya merampas syabu bernilai RM4.6 juta dalam penahanan dua lelaki di sini, Khamis.

Rampasan terbesar itu dibuat selepas polis menyerbu makmal memproses dadah di sebuah kondominium dekat Taman Ampang Utama sekitar pukul 1.40 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis menahan dua lelaki masing masing berusia 26 dan 29 tahun selepas mendapat maklumat orang awam.

"Dalam makmal yang berada di tingkat 15 kondominium itu, kami menjumpai 23 kilogram syabu belum siap diproses yang bernilai RM4.6 juta dan bahan kimia lain yang digunakan untuk memproses dadah," kata beliau pada Jumaat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Tun Hisan berkata polis sedang menyiasat kemungkinan dua lelaki yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah yang lebih besar.

"Seorang daripada mereka didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri kereta dan rompakan," katanya.

Beliau menambah lelaki yang berusia 26 tahun itu bekerja di sebuah kedai mencuci pakaian dan berasal dari Seri Kembangan manakala seorang lagi bekerja di gerai minuman dan berasal dari Seri Petaling.

Polis juga menahan beberapa peralatan digunakan untuk memproses dadah dan sebuah kereta.

Tun Hisan berkata masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam membantu pihak polis membanteras jenayah dadah.

"Makamal dadah seperti ini menghasilkan asap memedihkan yang boleh menyebabkan sakit tekak.

"Jika sesiapa terhidu bau seperti itu berdekatan kawasan rumah, mereka haruslah memaklumkan kepada pihak polis," tambah beliau.

Artikel Lain