suria

PGM Tahan 23 Pendatang Tanpa Izin

PELABUHAN KLANG: Taktik 23 pendatang tanpa izin Indonesia yang mahu pulang beraya lebih awal bagi mengelak pihak berkuasa gagal apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di perairan Sekinchan, dekat sini awal pagi Jumaat.

Pegawai Pemerintah PGM Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata kumpulan itu yang meliputi 14 lelaki dan sembilan wanita ditahan dalam satu operasi kira-kira pukul 1.30 pagi hasil maklumat awam dan pemantauan pihaknya.

"Ketika operasi awal pagi tadi anggota kita mendapati sebuah bot yang dipandu seorang tekong tempatan berumur 18 tahun menuju ke tengah laut dipercayai untuk memindahkan kesemua Pati (pendatang asing tanpa izin) termasuk sembilan wanita ke dalam bot yang lain.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba menukar haluan dan melarikan diri namun gagal apabila dipintas bot peronda PGM," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bot itu mendapati beberapa rakyat asing bersembunyi di dalam ruang simpanan hasil tangkapan laut, manakala selebihnya berada di atas bot berkenaan.

Norzaid berkata kesemua mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Siasatan awal mendapati pendatang asing berkenaan membayar antara RM200 hingga RM400 seorang untuk keluar dari negara ini tanpa dikesan pihak berkuasa lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan akan datang, katanya.

"Kita percaya sindiket penyeludupan manusia yang menjadi dalang membawa masuk dan keluar rakyat asing ke negara ini mempunyai rangkaian dengan sindiket luar dengan cara memindahkan Pati di tengah laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Norzaid berkata kesemua rakyat Indonesia berumur antara 19 dan 56 tahun termasuk tekong remaja rakyat tempatan terbabit ditahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2010). BERNAMA

Artikel Lain