suria

Kes Kematian AminulRasyid: Jenain Dakwa Tarik Picu Senjata Sekali Sahaja

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi yang dituduh menyebabkan kematian remaja, AminulRasyid Amzah memberitahu, dia hanya memetik picu submesingan sekali sahaja pada hari kejadian.

Jenain, 48, menambah senjata yang digunakannya semasa melepaskan tembakan ke arah bahagian bawah kereta yang dipandu oleh AminulRasyid, 15, adalah jenis automatik.

"Niat saya tembak hanya untuk menghentikan kereta kerana ia lari daripada pemeriksaan polis," katanya di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Keterangan pada perbicaraan lalu menyatakan Jenain yang bertugas di cawangan unit kereta peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah melepaskan 21 das tembakan daripada senjata sub mesingan.

Pada keterangan lain, Jenain juga menafikan dakwaan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Idham Abu Ghani bahawa dia berbohong dalam keterangannya bahawa kereta Iswara BET 5023 itu masih berkeadaan baik - iaitu tiada tayar dan tangki minyak yang bocor - selepas ditembak.

Idham: Saya cadangkan bahawa kamu sebenarnya ada niat untuk menembak kereta itu?

Jenain: Tidak (dalam nada yang tegas).

Idham: Saya katakan bila kamu lepaskan tembakan, kamu ada niat untuk sebabkan kematian penumpang kereta itu?

Jenain: Tiada.

Idham: Tindakan kamu lepaskan 21 dan tembakan bukan sesuatu yang tidak disengajakan?

Jenain: Tidak setuju.

Perbicaraan pada Jumaat, dimulakan dengan Hakim Latifah Mohd Tahar memberikan penghakimannya terhadap permohonan barisan pendakwaan untuk membawa masuk laporan polis yang dikatakan dibuat oleh Jenain, enam jam selepas kejadian berlaku.

TPR Mohd Dusuki Mokhtar menghujahkan kemasukan laporan polis tersebut adalah bagi tujuan mencabar kredibiliti saksi, yang didakwanya telah memberikan keterangan yang bercanggah di mahkamah.

Latifah memutuskan laporan polis tersebut tidak boleh dibawa masuk ke dalam perbicaraan yang telah memasuki peringkat pembelaan atas alasan ia tidak mematuhi Seksyen 51 (a) Kanun Prosedur Jenayah.

"Mahkamah berpendapat pihak pendakwaan sepatutnya mengemukakan semua dokumen yang akan digunakan kepada pembelaan, terutamanya dokumen yang akan digunakan untuk menyangkal keterangan pembelaan.

"Tujuan Seksyen 51 (a) adalah untuk meletakkan kewajipan kepada pendakwaan agar mengemukakan dokumen dan tindakan berbuat demikian pada peringkat ini akan memprejudiskan pembelaan," katanya.

Jenain sedang membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di sini, pada 26 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid yang memandu kereta itu tanpa pengetahuan keluarganya meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala selepas satu das peluru menembusi cermin belakang kereta.

Artikel Lain