suria

Syarat Jadi Pemaju Diperketatkan - Chee Heung

IPOH: Syarat untuk menjadi pemaju perumahan dan juga membuat permohonan mendapatkan permit kelulusan projek perumahan akan diperketatkan bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar layak dibenarkan membangunkan projek perumahan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata perkara itu akan masukkan dalam pindaan Akta Pemajuan Perumahan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat akhir tahun ini bertujuan mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai yang membebankan pembeli.

"Kita dapati sekarang ini begitu ramai pemaju yang tidak bertanggungjawab. Apabila mereka gagal mengatasi masalah kewangan, mereka akan lepas tangan (hentikan projek) tanpa alasan yang kukuh dan pemaju hanya disenarai hitam," katanya kepada pemberita selepas melawat projek perumahan terbengkalai di Taman Putra Indah, Bercham, di sini, Khamis.

Chor berkata bahawa dalam keadaan itu, yang menjadi mangsa adalah pembeli.

Beliau berkata melalui pindaan yang akan dibuat, kementerian akan dapat memastikan projek atau skim perumahan yang diluluskan berjalan dengan lancar mengikut perjanjian yang dibuat antara pemaju serta pembeli.

Projek perumahan Taman Putra Indah yang membabitkan dua fasa 98 unit dan 68 unit terbengkalai sejak empat tahun lepas disebabkan masalah pemaju.

Chor berkata dengan pindaan akta berkenaan, prosedur permohonan untuk mendapatkan permit pembinaan dan permit jualan akan diperketatkan bagi memastikan hanya pemaju yang layak boleh mendapatkannya.

Beliau berkata usaha berkenaan dibuat selepas berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REDHA). -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain