suria

Polis Tumpaskan Sindiket Penipuan Antarabangsa

KOTA KINABALU: Sindiket penipuan antarabangsa yang menggunakan kecanggihan teknologi maklumat, yang didalangi warganegara asing, tumpas selepas polis berjaya menahan 37 suspek termasuk 14 wanita dalam serbuan di beberapa lokasi di sini, Khamis.

Ketika mengesahkan penahanan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata turut dirampas dalam serbuan pada kira-kira pukul 10 pagi itu ialah komputer riba, telefon dan modem.

"Kumpulan ini dipercayai menggunakan teknik penipuan menggunakan Suara Melalui Protokol Internet (VOIP) dengan mensasarkan mangsa warganegara asing terutama sekali yang berada di tanah besar China.

"Kesemua suspek merupakan warganegara China dan Taiwan yang memasuki negara ini mengunakan pas pelancong," katanya kepada pemberita di sini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan Ketua JSJK Negeri Supritendan Soh Hock Sing.

Syed Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Taiwan dan China.

Kesemua suspek yang berumur 23 hingga 55 tahun ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

"Kita telah mengenal pasti seorang perancang utama sindiket berkenaan yang merupakan warganegara Taiwan dan modus operandi sindiket yang beroperasi 24 jam itu ialah dengan menghubungi mangsa di China menggunakan beberapa skrip yang telah disediakan.

"Kumpulan tersebut mempunyai kepakaran teknologi maklumat dengan mengalihkan panggilan nombor talian China kepada bilik pusat panggilan mereka di Kota Kinabalu. Syed Ismail berkata setakat April tahun ini sahaja sebanyak 104 kes penipuan dilaporkan di seluruh negara melibatkan kerugian sebanyak RM7.9 juta.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain