suria

Polis Cari Empat Saudara Bagi Bantu Kes Bunuh

NIBONG TEBAL: Polis mencari empat saudara lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang mekanik kereta maut selepas diserang sekumpulan lelaki di kawasan Tasek Mutiara di sini 5 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supritendan Shafien Mamat berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 29 tahun itu dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan mangsa S.Vijinran, 24, maut akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

"Polis mencari pasangan adik-beradik iaitu V.Veeran, 29, dan V.Yogarajan, 27, serta sepupu mereka iaitu S.Sasitharan, 18, dan S.Kalaimohan, 20, bagi membantu siatan berhubung kejadian itu," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Beliau berkata kumpulan seramai tujuh orang yang diketuai Veeran itu dipercayai tidak berpuas hati dengan Vijinran kerana didakwa mengganggu sepupu perempuan salah seorang anggota kumpulan terbabit dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam ketika dia sedang minum di sebuah kedai makan.

Katanya tiga lelaki berusia lingkungan 20-an daripada anggota kumpulan berkenaan ditahan dua jam selepas kejadian yang berlaku pada 12.15 tengah malam, dan kini direman sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis kini giat mengesan empat lagi anggota kumpulan itu dan percaya mereka yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu masih berada dalam Malaysia dan orang ramai yang mengenali mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan tiga lelaki berusia antara 25 dan 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian rompakan di sebuah bengkel kereta di Jalan Changkat, 16 Mei lepas.

Katanya ketiga-tiga suspek ditahan secara berasingan di sekitar Nibong Tebal dan Parit Buntar, Perak pada Selasa lepas dan polis menemui pelbagai barangan yang dicuri antaranya generator, enjin kereta dan sebuah lori.

"Kesemua barangan bernilai RM30,000 itu ditemui semula di sebuah bengkel lain di sini dan dipercayai akan dijual kepada pihak tertentu," katanya.

Shafien berkata kesemua mereka yang bekerja sendiri itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain