suria

Dakwaan Najib Guna Dana Awam Ke Kazakhstan Tak Berasas

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kazakhstan adalah untuk memenuhi penerimaan beliau terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Kazakh Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu, kata Kementerian Luar pada Khamis. Kementerian itu dalam satu kenyataan kepada BERNAMA menafikan laporan Malaysiakini 7 Jun berjudul "PM's use of public funds for wedding trip morally wrong" (Penggunaan dana awam oleh PM untuk perjalanan mengurus perkahwinan adalah salah dari segi moral).

Ia menegaskan dakwaan sesetengah pihak kononnya lawatan itu untuk mengurus perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri sama sekali tidak berasas.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa lawatan Najib ke Kazakhstan pada 5 dan 6 Jun adalah juga lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu dan sebagai membalas lawatan Nazarbayev ke Malaysia pada Jun 2006.

Ia menyatakan semasa lawatan itu, Najib telah mengunjungi Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan Perdana Menteri Massimov Karim.

"Lawatan itu tidak hanya meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, tetapi juga menghasilkan banyak peluang perniagaan untuk komuniti perniagaan Malaysia," katanya.

Ia menambah bahawa Kazakhstan adalah juga rakan dagang terbesar Malaysia di kalangan negara-negara di Asia Tengah.

Kenyataan itu juga menerangkan bahawa lawatan Perdana Menteri itu bertepatan dengan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 dari 7 hingga 9 Jun di Astana, dan Najib mewakili Malaysia selaku penaung WIEF.

Keputusan bagi Kazakhstan menjadi hos WIEF ke-7 pada tarikh itu dicapai lebih setahun lalu, ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi siri keenam WIEF pada Mei, 2010, katanya.

"Secara keseluruhan, kunjungi itu telah menghasilkan perkembangan besar dalam hubungan dua hala Malaysia-Kazakhstan yang saling menguntungkan.

"Ia juga telah dapat memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara serta memupuk kerjasama dan dialog yang bermakna antara negara-negara membangun terutama negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)," tambah kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain