suria

Bapa Lega Tiga Anaknya Dapat Taraf Warga Negara Malaysia

KOTA BARU: Seorang bapa bersyukur apabila tiga orang anaknya menerima taraf warga negara Malaysia.

"Saya gembira kerana akhirnya hajat saya untuk mendapatkan MyKad kepada anak-anak saya tercapai.

"Fikiran saya lapang apabila mendapat tahu kini status mereka sebagai rakyat negara ini tidak boleh diragui lagi," kata Shahabudin Md Noor, 39, yang berkahwin dengan rakyat Thailand.

Seramai 14 invidu menerima sijil kewarganegaraan Malaysia di sini hari ini dari Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Shahabudin yang mengusahakan kedai makan berhampiran rumahnya di Kubang Kerian berkata beliau menghadapi pelbagai kesulitan ekoran anak-anaknya tidak memiliki MyKad.

"Misalnya anak sulung saya tidak dapat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana tidak memiliki MyKad.

"Nor Shakimie Aidi sepatutnya menduduki PMR tahun lepas, tetapi kerana tidak memiliki MyKad, dia tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan mahupun menduduki peperiksaan, walaupun kami merayu.

"Saya sedih melihat keadaannya yang malu tidak dapat bersama kawan-kawan sebaya menduduki PMR. Namun kini saya bersyukur kerana perkara ini tidak berlanjutan lagi," katanya.

Zahrah Abd Rahman, 64, yang berasal dari Kemboja turut bersyukur kerana selepas hampir 30 tahun menetap di Malaysia, beliau akhirnya sah bergelar rakyat Malaysia.

Beliau berkata beliau menetap di Malaysia setelah berkahwin dengan rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia 10 tahun lalu.

"Makcik sangat terharu apabila terima taraf warga negara. Bersyukur sangat atas keprihatinan kerajaan.

"Sekurang-kurangnya tercapai juga hasrat makcik nak mengundi pada pilihan raya nanti," katanya yang tinggal di Jalan Bayam. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain