suria

Polis Ambil Keterangan Isteri Mangsa Kes Bunuh

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan isteri kepada mangsa kes bunuh yang mayatnya dicampak di Sungai Klang Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata saksi berumur 43 tahun itu memberi keterangan dua hari lepas.

"Setakat ini kita (polis) telah memanggil seorang saksi sahaja iaitu isteri mangsa dan sekiranya perlu kita akan panggil lagi saksi untuk siasat punca dan motif sebenar mangsa dibunuh.

"Sehingga kini tiada lagi tangkapan dan kita masih memerlukan petunjuk untuk menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Abd Razak berkata polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa Rodzie Harun, 45, berasal dari Temerloh, Pahang dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke dalam Sungai Klang dan mayatnya dijumpai oleh orang ramai kira-kira 6 petang dengan berpakaian lengkap.

Polis percaya mangsa dibunuh menggunakan objek tajam berdasarkan tetakan yang ditemui pada badan mangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain