suria

Penyatuan Umno-PAS Bukan Agenda Utama Sekarang - Salahuddin Ayub

PETALING JAYA: Kewujudan PAS dan Umno yang bersandarkan ideologi politik berbeza tidak akan memecahbelahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini malah ia bukan terletak dalam agenda utama parti itu sekarang.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, orang Melayu dan umat Islam boleh bersatu tetapi tidak semestinya berada di bawah satu 'bumbung'.

"Orang Melayu tidak akan berpecah walaupun kedua-dua parti ini tidak bergabung. Biarlah PAS dan Umno wujud dengan entiti berbeza," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang menegaskan pintu rundingan penyatuan antara kedua-dua parti masih lagi terbuka.

Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan tawaran itu tidak akan menjadi agenda kepimpinan baru PAS.

Sebaliknya, beliau berkata PAS akan melipat gandakan usaha bagi menghadapi jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Agenda penyatuan itu merupakan lambaian fatamorgana semata-mata. Kita tidak mempedulikannya. Kita akan terus merangka perancangan untuk mengambil alih kerajaan sedia ada nanti," jelasnya.

Walaupun kepimpinan baru PAS didominasi kumpulan yang disifatkan pro Anwar Ibrahim, Salahuddin berharap agar orang Melayu tidak gusar terhadap pemilihan itu.

"Jangan bimbang...sekiranya itu yang lebih baik, orang Melayu akan mendapat manfaatnya. Kita akan pastikan PAS terus kuat dan terus bertakhta di hati umat Islam," katanya.

Penyatuan PAS dan Umno mendapat gesaan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) demi kemajuan dan keharmonian dalam negara tetapi sehingga hari ini titik penyatuan itu belum kelihatan.

Bahkan, beberapa pemimpin PAS sebelum ini tetap mempertahankan pendirian mereka untuk terus bekerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam merealisasikan konsep negara berkebajikan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain