suria

Negara Islam Sepatutnya Sudah Sebati Dengan Tadbir Urus Cekap: Najib

ASTANA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara-negara Islam sepatutnya sudah sebati dengan tadbir urus yang baik kerana ia sudah menjadi amalan mereka sejak 1,500 tahun lepas.

Mengimbau sejarah, Perdana Menteri berkata, khalifah keempat, Ali bin Abi Talib yang juga menantu Nabi Muhammad S.A.W, pernah memberitahu Gabenor Mesir, Maalik as-Ashtar, bahawa pentadbirannya akan hanya berjaya jika beliau mentadbir berasaskan keadilan, kesesaksamaan, kejujuran dan kemakmuran untuk semua termasuk wanita.

"Maka, sebagai negara Islam, kita sudah lama tahu bahawa nilai-nilai ini bukannya sekadar menjadi ikutan negara demokrasi Barat," katanya dalam satu ucapan khas pada upacara perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di sini Rabu.

Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev merasmikan forum itu yang turut dihadiri beberapa ketua kerajaan dan 2,000 peserta dari 50 negara termasuk 250 orang dari Malaysia.

Najib berkata bahawa pentadbiran berasaskan keadilan, kesaksamaan dan kejujuran seperti yang diperintah oleh Saidina Ali, bukan bererti ia mengikut telunjuk Barat tetapi bertindak berlandaskan ajaran Al Quran.

Namun, menurut Najib, itu tidak bermakna bahawa mengamalkan ajaran Ali itu dalam dunia moden sekarang ini tidak akan berdepan dengan cabaran.

"Dalam sebuah dunia yang penuh dengan pengaruh politik, persaingan dan peluang tidak seimbang, pertalian keluarga, sifat tamak, serta peraturan dan syarat serta penguatkuasaan yang lemah, langkah ke arah tadbir urus yang baik ini nampaknya lebih sukar dialaksanakan," katanya.

Malahan, kata Perdana Menteri, kepatuhan kepada perintah Allah pun adakalanya tidak menjamin seseorang itu akan berpegang kepada prinsip integriti.

Katanya sebagai pemimpin politik dan negarawan, terpulang kepada mereka untuk menunjukkan kesungguhan, dedikasi, komitmen dan keinginan untuk melakukan apa yang betul dan membetulkan apa yang tidak betul selain bagi mencegah rasuah, kerahsian dan tawar-menawar sulit daripada menjadi satu amalan dalam masyarakat.

"Jika sesuatu kerajaan itu mahu bertahan dan maju serta memenuhi aspirasi rakyat terutama golongan muda, kita harus mencari pendekatan baru dan model baru ekonomi yang sesuai dengan kekuatan negara kita masing-masing," kata Najib.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain