suria

Lelaki Tunggang Kuda Langgar Kanak-Kanak Di P.Pinang Ada Rekod Jenayah

GEORGE TOWN: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob mengesahkan pada Rabu bahawa seorang lelaki yang dipercayai menunggang kuda dan merempuh seorang budak perempuan berumur lima tahun sehingga mencederakannya di Batu Ferringhi, pada Selasa memiliki rekod jenayah.

Dia didapati pernah menyalahgunakan dadah dan pecah rumah sebelum ini, kata Ayub.

Menurut beliau, suspek yang berusia 28 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah disahkan positif dadah ketika ditahan dan diperiksa tengah hari Selasa sejurus selepas insiden berkenaan.

Polis telah mengemukakan suspek di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu tengah hari untuk memperolehi tahanan reman untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Ayub berkata, ekoran kejadian itu, polis kini sedang mengawasi operator aktiviti pantai khususnya budak-budak pantai yang mengendalikan pelbagai aktiviti untuk para pelancong.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi mangsa, Arina Kirana Azrin, di Hospital Pulau Pinang.

Arina sedang bermain-main di pantai berkenaan bersama kakaknya yang berusia 12 tahun apabila kuda yang ditunggangi oleh suspek merempuhnya. Kanak-kanak itu mengalami keretakan pada tulang bahunya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain