suria

Kontrak KSN Disambung Setahun Lagi

KUALA LUMPUR: Kontrak Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) disambung secara kontrak selama setahun lagi mulai 24 Jun ini hingga 23 Jun tahun depan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan media Selasa, pelantikan semula Mohd Sidek, 59, telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan terutama dalam meningkatkan lagi sistem penyampaian Perkhidmatan Awam Malaysia dan memastikan inisiatif yang telah dilancarkan oleh kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dilaksanakan dengan berkesan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Mohd Sidek dilantik sebagai KSN pada 3 September 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun 2007 kerana mencapai umur 56 tahun pada tarikh tersebut.

Beliau dilantik semula secara kontrak sebagai KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 hingga 23 Jun 2009.

Perkhidmatan beliau kemudian dilanjutkan lagi untuk tempoh setahun mulai 24 Jun 2009 hingga 23 Jun 2010 dan 24 Jun 2010 hingga 23 Jun 2011. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain