suria

Umno Mahu PAS Lupakan Kisah Silam Demi Perpaduan Umat Islam

KUALA LUMPUR: Umno terus membuka pintu perpaduannya dengan PAS apabila mengajak parti pembangkang itu melupakan memori silam antara kedua-dua parti yang berseteru sejak tahun 1970-an sehingga mengakibatkan perpecahan umat Islam.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, kejadian itu sudah lama berlalu dan kebanyakan pemimpin kedua-dua parti yang terlibat dalam pertikaian politik pada waktu berkenaan sudah tiada.

"Pemain politik yang terlibat dalam insiden itu sudah tiada. Ia membabitkan pemimpin veteran pada waktu itu.

"Kita tak tahu hujung pangkal. Biarlah peristiwa lama itu berlalu pergi. Sekarang dah beberapa generasi... bukalah buku baru, apa salahnya?" katanya pada sidang media di sini Selasa.

Hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu terputus pada 1977 sehingga menyebabkan Kerajaan PAS Kelantan jatuh.

Terdahulu, Ahmad mengadakan pertemuan dengan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendengar pandangan mereka terhadap situasi politik, ekonomi, sosial dan kebajikan di negara ini yang turut dihadiri Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu yang mewakili 165 NGO.

Jelas Ahmad, beliau mahu PAS menganggap barisan kepimpinan BN sedia ada sebagai kumpulan baru yang tiada kaitan dengan peristiwa itu.

"Datuk (Seri) Najib (Tun Razak), Tan Sri Muhyiddin (Yassin) tak terlibat begitu juga ahli Majlis Tertinggi. Sekarang kita melalui transformasi baru, kita ada pemimpin baru. Jadi lupakanlah yang lama," tegasnya.

Mengulas mengenai PAS yang mahu terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad berkata, Umno masih membuka pintu kepada komponen Pakatan Rakyat itu menyertai Barisan Nasional demi memperjuangkan parti Melayu dan perpaduan umat Islam.

"Semua orang tahu usaha untuk menyatupadukan kedua-dua parti masih boleh diteruskan. Kita harus berfikiran positif...tak semestinya seseorang itu akan bersikap begitu selamanya," katanya.

Menurutnya, jika PAS mahu berbincang, kerjasama itu amat dialu-alukan kerana pintu rundingan antara kedua-dua tidak tertutup.

Tegasnya, walaupun pucuk kepimpinan PAS yang baru rata-ratanya didominasi oleh golongan edrogan dan Anwarisme usaha menyatupadukan Umno dan PAS tetap tidak akan berkubur.

"Saya tak melihat perkara seperti itu akan berlaku. Saya anggap calon pada pemilihan kali ini sebagai positif. Kami masih boleh berbincang apabila melibatkan perkara berkaitan Palestin dan pendidikan," ujarnya.

Artikel Lain