suria

Sistem Biometrik Digunakan Sepenuhnya Akhir Bulan Ini - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melaksanakan sistem biometrik sepenuhnya di semua pintu masuk sempadan negara mulai akhir bulan ini dalam usaha mengekang kegiatan jenayah merentasi sempadan melibatkan warga asing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sistem itu yang telah dikaji selama setahun setengah oleh kementerian berkenaan mula digunakan di beberapa beberapa pintu masuk pada 1 Jun lepas.

"Biometrik sudah mula (digunakan) tetapi masalah dikesan di sempadan Singapura sejak dua tiga hari lepas, kita sedang mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Biometrik merupakan sistem pengimbas cap jari yang hanya memerlukan masa 1 minit 20 saat untuk warga asing masuk ke negara ini melalui pintu masuk sama ada darat atau laut.

Difahamkan, kerajaan akan menggunakan sistem itu di 61 daripada 96 pintu masuk negara mulai awal bulan ini.

Hishammuddin menjelaskan berikutan pelaksanaan sistem itu, warga asing akan diberi masa untuk mendaftar imbasan cap jari mereka untuk disimpan dalam pangkalan data Jabatan Imigresen sebagai rujukan.

"Selain mengetahui kehadiran mereka, sistem ini juga bagi memastikan mereka tidak kembali atau tinggalkan negara ini dengan nama atau pasport berbeza," katanya.

Menurutnya perbincangan dengan pakar luar negara juga mendapati sistem itu berkesan untuk mengesan penjenayah menerusi imbasan cap jari.

Beliau yakin sistem itu dapat digunakan dengan jayanya dalam program pengampunan dan pemutihan pendatang asing di negara ini kelak.

IPD Dang Wangi siap dibina tahun lepas dengan kos RM125 juta. - BERNAMA

Artikel Lain