suria

PM Lawat Kampus Universiti Nazarbayev Kazakhstan

ASTANA (Kazakhstan): Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, akan menemui pegawai kanan akademik Universiti Nazarbayev pada hari kedua lawatan rasminya ke Kazakhstan pada Selasa.

Dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi Malaysia yang termasuk empat menteri kabinet, Najib akan diberi taklimat oleh Presiden Universiti Nazarbayev sebelum melawat sekitar universiti itu.

Memandangkan pendidikan sentiasa merupakan satu perkara yang menarik minat Perdana Menteri, para pegawai berkata ada kemungkinan Najib akan menyentuh perkara-perkara berhubung pertukaran kakitangan akademik dan penyelidik dan usaha kerjasama antara universiti-universiti kedua buah negara.

Malaysia telah lama dikenali di kalangan negara membangun berhubung minat dalam bertukar-tukar pengetahuan dan berkongsi kepakarannya dan ada kemungkinan bagi mewujudkan program pertukaran dan pendidikan berkembar antara Malaysia dan Kazakhstan.

Sebelum itu, Najib dijadual melawat Pusat Kebudayaan Presiden di ibu negara Kazakhstan dan juga melawat Muzium Presiden Pertama.

Selepas berehat seketika, Perdana Menteri dijadual menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara CAPAsia (usaha sama ekuiti dana pengurus swasta antara Kumpulan CIMB dan Standard Bank Group) dan Central Asian Power and Energy Company (CAPEC).

Selepas hari kedua dan terakhir lawatan rasminya, Najib, atas jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev, dijadual tinggal selama dua hari lagi untuk lawatan kerja ke Forum Ekonomi Islam Dunia kali ke-7 (WIEF) yang mana beliau adalah penaungnya.

Pada Rabu, Perdana Menteri dijangka berucap di hadapan 2,000 peserta pada majlis pembukaan WIEF di Palace of Independence di sini bersama-sama dengan beberapa pemimpin negara yang lain.

Beliau kemudian akan melawat pameran dan Pavilion Malaysia dan pada sebelah petang menghadiri jamuan makan malam yang dihoskan oleh Presiden Nazarbayev untuk para peserta WIEF.

Sementara itu, Rosmah yang mempunyai program berasingan melawat 'SOS Children's Village of Kazakhstan' dan juga 'Nazarbayev Intellectual School of Physics and Mathematical Sciences'.

Pada Rabu, Rosmah dijadual merasmikan pertunjukan semasa makan tengah hari Festival Fesyen Islam (IFF) di sebuah hotel berprestij, Rixos President Hotel. -BERNAMA

Artikel Lain