suria

Peruntukan Kerusi Haruslah Dibuat Secara Bersama

KUALA LUMPUR: Semua anggota komponen Barisan Nasional (BN) haruslah menghormati keputusan yang dibuat Dewan Tertinggi BN berhubung dengan pengagihan kerusi.

Bendahari Agung MCA dan Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tan Chai Ho berkata, pengagihan kerusi mestilah melalui rundingan dalaman untuk mengelakkan sebarang pertikaian.

"Ingin saya nyatakan bahawa semua isu berkaitan BN pada pilihan raya umum akan datang haruslah diputuskan oleh Majlis Tertinggi.

"Segala pertikaian harus diselesaikan dengan semangat parti dengan mengambil kira pandangan semua anggota komponen untuk mencapai keseimbangan yang sempurna," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

"Maka perhatian yang tidak sepatutnya diberikan kepada isu tersebut adalah tidak wajar dan harus diendahkan," tambahnya lagi.

Baru-baru ini, akhbar-akhbar berbahasa Cina melaporkan, Umno Bahagian Wangsa Maju mahukan kerusi Parlimen Wangsa Maju dikembalikan kepada Umno.

Umno suatu ketika dahulu pernah bertanding di kerusi parlimen berkenaan.

Chai Ho berkata, BN dan MCA akan berusaha keras dalam pilihan raya umum akan datang dan isu berkaitan peruntukan kerusi mestilah diselesaikan melalui perundingan atau saluran dalaman.

Beliau berkata, mengeluarkan pandangan atau kenyataan menerusi media tanpa berfikir panjang boleh menganggu gugat persediaan dan semangat BN dalam pilihan raya lantas membawa kepada pertikaian dan perbalahan malah memberi peluang kepada mereka yang mahu mengambil kesempatan terhadap BN.

"Saya menyeru semua anggota komponen BN untuk bekerja sama terutamanya dalam situasi kritikal yang dihadapi sekarang untuk memastikan BN akan mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang," tambahnya lagi.

Artikel Lain