suria

Penjual Bunga Dihukum Gantung Sampai Mati

ALOR SETAR: Seorang penjual bunga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Selasa, kerana didapati bersalah mengedar dadah seberat 28.07 gram (24.22 gram heroin dan 3.75 gram moacetylmorphines), empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berjaya membuktikan tertuduh, G. Gobinanth Reddy melakukan kesalahan itu.

Gobinanth Reddy didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kawasan letak kereta stesen minyak Caltex Taman Sejati, Sungai Petani pada 17 September 2007 kira-kira pukul 11.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tertuduh yang berseluar jeans biru dan kemeja-T putih kelihatan tenang ketika penghakiman manakala anggota keluarganya kelihatan menangis.

Gobinanth Reddy yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang diwakili peguam S.P Raman manakala Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud. - BERNAMA

Artikel Lain