suria

Pengarah Urusan IGD Practice Didakwa Pecah Amanah RM3 Juta

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan dinar emas, IGD Practice Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan melakukan pecah amanah bernilai RM3 juta.

Datuk Dr Shamsudeen Mohd Yunos, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim S. M Komathy.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap wang syarikat itu dengan memindahkan wang sebanyak RN3,060,000 ke dalam akaun persendiriannya, iaitu Maybank cawangan bukit bintang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara 16 Mac dan 17 Mac 2004 di Maybank cawangan KLCC di Lot C21-C, Concourse Expansion, Suria KLCC, Dang Wangi, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Chetan Jethwani merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan RM500,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada RM50,000 atas alasan tertuduh mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Komathy tidak membenarkan rayuan tersebut dan menetapkan jaminan tertuduh pada RM500,000 dengan dua orang penjamin.

Beliau membenerkan tertuduh untuk menjelaskan RM50,000 pada hari ini, manakala RM250,000 perlu dijelaskan sebelum tarikh sebutan semula kes.

Bakinya RM200,000 pula hanya perlu dibayar sekiranya tertuduh gagal menghadiri prosiding mahkamah pada masa hadapan.

Komathy juga memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Julai ini.

Artikel Lain