suria

Kementerian, Agensi Penguatkuasaan Mesti Guna Produk Tempatan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Semua kementerian dan agensi yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan dan pertahanan akan diwajibkan menggunakan produk keluaran syarikat tempatan tidak lama lagi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan (MIDES) di sini, Isnin.

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Ahmad Zahid, turut dihadiri Panglima Tentera Udara Tan Sri Rozali Daud, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Timbalan Panglima Tentera Darat Left-Jen Datuk Wira Zulkifli Zainal Abidin.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, langkah itu secara langsung dapat memperkasakan lagi sistem pertahanan negara.

Ahmad Zahid juga berkata mesyuarat itu memutuskan sesuatu kontrak pembelian peralatan oleh Kementerian Kewangan perlu dibuat terus daripada pengeluar dan tidak lagi daripada syarikat dagangan (trading) untuk mengelak syarikat dagangan mengaut komisyen tinggi hingga membebankan pengeluar.

Selain itu, katanya mesyuarat itu juga meminta Kementerian Kewangan untuk melaksanakan sistem kontrak berpusat untuk mengelakkan persaingan sesama pemain industri pertahanan dan keselamatan.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah mendapat pengesahan daripada menteri-menteri pertahanan ASEAN untuk melaksanakan satu standard yang dikenali sebagai Standard ASEAN dalam pengeluaran peralatan dan sistem pertahanan.

"Produk yang dikeluarkan Malaysia atau negara ASEAN lain akan dipiawaikan sebagai Standard ASEAN. Oleh itu, negara-negara ASEAN tidak akan bersaing sesama sendiri tetapi bersaing dengan pengeluar yang menggunakan Standard North Atlantic Treaty Organisation (NATO)," katanya.

Pada seminar pertahanan di Jakarta Mei lepas, Ahmad Zahid mencadangkan negara-negara Asean mewujudkan Standard Asean itu bertujuan menjayakan kolaborasi dalam industri pertahanan di kalangan negara-negara anggota. - BERNAMA

Artikel Lain