UDA Akan Teruskan Bangun Tanah Wakaf Di Bandar - Semasa | mStar

UDA Akan Teruskan Bangun Tanah Wakaf Di Bandar

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) akan terus komited dengan pembangunan tanah wakaf meskipun pulangan yang dijanjikan adalah rendah.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed berkata, komitmen itu akan diteruskan kerana pembangunan tanah wakaf merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA.

Menurutnya, ketidaksanggupan pihak tertentu untuk membangunkan tanah wakaf tidak menghalang UDA untuk meneruskan agenda tersebut.

"UDA mempunyai tanggungjawab CSR yang perlu ditunaikan. Kita mendefinisikan CSR ini dalam bentuk pembangunan tanah wakaf kerana kawasan tanah di bandar-bandar adalah selamat dan ditambah pula UDA sememangnya tidak mampu membeli tanah-tanah tersebut.

"Walaupun UDA tidak berkemampuan untuk membeli tanah-tanah itu, tetapi UDA bersedia menjadi rakan usahasama kepada Majlis Agama Islam di negeri-negeri bandar utama," katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan memberitahu, projek pembangunan tanah wakaf Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang dipertanggungjawabkan kepada UDA, kini dalam proses pembinaan dan akan disiapkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ujarnya, disebabkan pulangan yang dijanjikan menerusi pembangunan tanah wakaf di kawasan berkenaan adalah rendah, UDA terpaksa memberikan subsidi untuk menampung projek itu.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain