suria

Tidak Bersatu Punca Ulama Ditolak Dalam PAS

TERNYATA kemenangan luar jangkaan Mohamad Sabu pada pemilihan PAS yang baru sahaja berlalu meninggalkan impak yang cukup besar. Ramai yang tidak menjangka ‘ayam tambatan’ dan penceramah vokal PAS ini mampu menumbangkan dua calon ulama, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam perebutan jawatan nombor dua parti itu.

Persoalannya apakah punca yang menyebabkan kemenangan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu?

Adakah kerana beliau merupakan calon popular di kalangan perwakilan atau golongan ulama dalam PAS tidak bersatu membuat keputusan sebulat suara memilih satu daripada dua calon ulama yang bertanding?

Keputusan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan PAS pusat pada Sabtu lalu jelas menunjukkan Mat Sabu menang dengan kelebihan 21 undi sahaja.

Dari sudut matematik, itu bukan satu keputusan yang menunjukkan suara majoriti menyokong Mat Sabu. Daripada 1,043 perwakilan yang layak mengundi hanya 420 orang mengundi bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu.

Tuan Ibrahim pula mengekori rapat dengan memperoleh 399, sementara Nasharuddin di tempat tercorot dengan 224 undi.

Jika dicampurkan undi kedua-dua pemimpin ini sudah pasti salah seorang daripada mereka mampu menang dengan jumlah undi yang lebih selesa.

Adakah pecah undi berlaku? Memang benar pecah undi berlaku kerana perwakilan seakan keliru memilih sama ada mahu Tuan Ibrahim atau Nasharuddin.

Sewajarnya, dari awal lagi sudah ada kompromi antara dua calon ulama ini agar salah seorang menarik diri, dan barulah mudah bagi para perwakilan membuat keputusan yang bijak.

Maka tidak hairanlah keputusan yang diperoleh Sabtu lalu jelas mengejutkan ramai pihak.

Walau apa pun, dalam prinsip demokrasi kelebihan satu undi merupakan kemenangan yang signifikan dan yang kalah perlu terima kekalahan dengan hati yang terbuka.

Daripada satu sudut, kemenangan Mat Sabu jelas memberi kelebihan kepada usaha mengukuhkan hubungan PAS dengan parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keakraban Mat Sabu dengan pemimpin kanan DAP seperti Lim Guan Eng bakal mengeratkan serta memudahkan kompromi dalam beberapa isu antara kedua-dua parti.

Malah kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengukuhkan lagi pendapat tersebut. Beliau melahirkan rasa gembira dengan kemenangan pemilihan golongan profesional dengan melabelkan mereka sebagai ‘kabinet pilihan raya’.

“Saya gembira dan ahli-ahli bergembira dengan keputusan ini. Muktamar semakin hari semakin meriah. Ini menunjukkan kematangan ahli-ahli kita.

“Ahli-ahli memilih saf di hadapan untuk pilihan raya. Sebab itu kabinet saya kali ini adalah kabinet pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas kemenangan barisan kepimpinan baru diumumkan Sabtu lalu.

Beliau juga menolak dakwaan kemenangan golongan profesional yang menguasai jawatan eksekutif dalam kepimpinan PAS menunjukkan penolakan perwakilan terhadap kepimpinan ulama.

“Kita tidak terikat dengan individu tertentu. Kita kerja bersama-sama… Bukan pemimpin yang membuat perubahan, perwakilan yang membuat perubahan.

“Strategi kita mungkin berubah tapi dasar matlamat serta acuan kita tidak berubah,” katanya.

Oleh itu, kemenangan Mat Sabu dan tiga Naib Presiden PAS, yang terdiri daripada Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepimpinan ulama yang dipertahankan sejak awal penubuhan parti Islam tertua di negara ini.

Ibarat mencurah air ke daun keladi, teguran Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib agar kepimpinan ulama dipertahankan dan parti itu tidak perlu terikut-ikut dengan kehendak parti lain sehingga PAS kehilangan identitinya seakan tidak diendahkan oleh para perwakilan dengan keputusan pemilihan kali ini.

“PAS perlu dinamik dan tidak mengorbankan pendiriannya (assawabit). Tidak kompromi dalam soal halal, haram yang jelas sudah dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah,” katanya dalam ucapan dasar ketika merasmikan Dewan Ulama, Khamis lalu.

Namun masih terlalu awal untuk mencongak kesan daripada perubahan pucuk pimpinan PAS ini. Sama ada kepimpinan ulama terus menjadi peneraju atau golongan profesional mampu membawa perubahan terhadap perjuangan serta hala tuju PAS selepas ini semuanya hanya dapat dilihat menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Artikel Lain