suria

Najib Sifatkan Lawatan Ke Tiga Benua Satu Siri Jelajah Pantas

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin menyifatkan lawatannya ke tiga benua dalam masa yang singkat bulan lepas bukan hanya bertujuan memperbaharui hubungan antarabangsa dengan negara-negara pelabur tetapi juga bermatlamat membawa masuk pelabur ke Malaysia.

Perdana Menteri berkata penjelajahan sejauh 44,000 batu merentasi tiga benua Eropah, Amerika Utara dan Asia bukanlah satu lawatan untuk berseronok-seronok kerana beliau mempunyai jadual padat untuk menghadiri pelbagai mesyuarat, menyampaikan syarahan dan juga ucapan.

"Ia merupakan satu siri jelajah pantas dalam masa singkat, tetapi saya optimistik dengan masa hadapan Malaysia, terima kasih kepada maklum balas serta hasil daripada lawatan-lawatan saya, begitu juga dengan akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan lebih baik bagi rakyat Malaysia," kata beliau dalam entri terbaru "A Lengthy Blog for a Lengthy Trip" di blog beliau www.1malaysia.com.my , Isnin.

Najib berkata siri jelajah beliau bermula dengan lawatan ke Arab Saudi untuk menghadiri santapan tengah hari bersama Raja Abdullah, suatu majlis yang jarang-jarang berlaku dan merupakan satu penghormatan.

Lawatan kerja seterusnya membawa Perdana Menteri ke Qatar, di mana Najib bertemu rakan sejawatannya Sheikh Hamad Jassim Jabar al-Thani dalam satu pertemuan empat mata bagi mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Negara Teluk itu.

Najib berkata beliau menggesa syarikat-syarikat Malaysia meningkatkan penglibatan kegiatan ekonomi di negara berkenaan dan mengambil sepenuhnya peluang yang ada kerana Qatar sedang membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA pada 2022 dan banyak projek infrastruktur bernilai kira-kira US$140 bilion dilancarkan.

Dari Timur Tengah, beliau kemudian terbang ke England, dan tiba di London pada petang Ahad bagi melakukan lawatan kerja di negara itu.

Beliau melawat bangunan baru Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS) yang sedang dalam pembinaan dan kemudiannya menyampaikan syarahan di Sheldonian Theather, satu bangunan bersejarah.

Selepas lawatan dua hari itu, Perdana Menteri terbang ke Amerika Syarikat. Kali ini lawatan kerja beliau memberi tumpuan ke arah menarik pelabur dan ahli perniagaan dengan persinggahan pertama ke New York, untuk melancarkan program Invest Malaysia 2011 di NYSE, yang disertai lebih 360 pelabur berpotensi.

"Daripada interaksi saya dengan masyarakat perniagaan di sana, saya optimistik pelaburan langsung asing akan terus memasuki negara kerana beberapa syarikat multi-nasional telah menyatakan hasrat mereka untuk melabur sehingga US$6 bilion. Ini bermakna lebih banyak pekerjaaan akan wujud untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

Najib turut mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York dan membincangkan tentang kerangka kerja ekonomi digital yang inovatif yang akan menjadi kemuncak dalam pembangunan Pelan Induk Digital Malaysia.

Dari New York, Najib menjelajah ke Washington dan kemudian Maryland, untuk melawat Johns Hopkins University di Baltimore.

Di sini, Perdana Menteri teruja dengan penubuhan institusi pengajian dan penyelidikan perubatan Universiti Johns Hopkins di Sedang menerusi satu usahasama dengan Universiti Perdana pada September ini, yang dijangka mendapat sambutan hebat di rantau Asia.

Semasa lawatan itu, Najib turut meluangkan masa untuk menyaksikan majlis konvokesyen anak perempuannya, Nooryana Najwa yang menerima ijazah Sains Dalam Perkhidmatan Luar Negara di Georgetown University.

"Sebagai bapa, saya pasti anda dapat mengaitkan keadaan dan bahawa acara sebegini memperkukuhkan kepercayaan kita sebagai ibu bapa telah melakukan yang terbaik untuk membimbing dan mengasuh anak kita menjadi dewasa dan manusia berguna. Ini merupakan satu pengalaman pahit manis," katanya.

Najib berkata beliau memutuskan untuk pulang ke tanah air lebih awal dari masa yang dijadualkan untuk melawat tempat tragedi tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dan menemui mangsa kejadian.

Dua hari selepas itu, Perdana Menteri ke Jepun untuk lawatan kerja singkat dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17 di Tokyo, yang pertama dihadiri Najib sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009. - BERNAMA

Artikel Lain