suria

Muktamar Tahunan PAS: Majlis Syura Diperkasa, Audit Prestasi Pimpinan PAS – Mat Sabu

GOMBAK: Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu pada Ahad mengesyorkan supaya Majlis Syura diberikan kuasa audit untuk menilai prestasi barisan kepimpinan pusat yang telah dipilih pada pemilihan kali ini.

Menurutnya, perkara tersebut perlu segera dilaksanakan kerana sudah timbul tanggapan bahawa kepimpinan ulama di peringkat kepimpinan eksekutif sudah terhakis ekoran keputusan pemilihan kali ini yang memihak kepada golongan profesional.

“Kita mahu Majlis Syura diperkasakan, kalau boleh Majlis Syura ini membuat audit kepada ahli jawatankuasa PAS pusat terhadap akhlak dan perangai mereka.

“Kalau mereka melanggar syariat Islam maka Majlis Syura boleh memanggil, menegur serta mengambil tindakan disiplin terhadap mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-57 di Markas PAS, Taman Melewar di sini.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, sudah tiba masanya martabat Majlis Syura diangkat ke peringkat yang lebih tinggi untuk menjalankan tugas audit terhadap pimpinan pusat supaya elemen urus tadbir dapat dihasilkan dalam parti.

Pada pemilihan kali ini Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menewaskan dua calon ulama iaitu penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mat Sabu yang dilabel sebagai wakil daripada golongan profesional bagaimanapun menegaskan akan memperjuangkan kepimpinan ulama yang menjadi teras perjuangan PAS selama ini.

Keputusan bagi Naib Presiden turut memihak kepada kumpulan profesional apabila ketiga-tiga jawatan tersebut dimenangi oleh Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Artikel Lain