suria

MB Perlis Mahu Penjawat Awam Negeri Itu Lunaskan Tugas Harian Sebelum Pulang

KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada Isnin meminta penjawat awam di negeri itu berusaha melunaskan tugas harian mereka sebelum pulang ke rumah masing-masing pada sebelah petang.

Katanya menerusi cara itu, mereka dapat mengelakkan tunggakan tugas yang selama ini menghalang kelicinan sistem penyampaian kerajaan.

"Perlis telah menjana wawasan Perlis Maju 2015 dan untuk mencapai wawasan itu, penjawat awam perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka," katanya berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam Perlis, di sini.

Beliau juga meminta warga perkhidmatan awam di negeri itu menguruskan kewangan peribadi mereka secara bijak, agar tidak terbeban dengan masalah hutang sehingga menjejaskan prestasi kerja.

Ini kerana katanya, ada penjawat awam yang terpaksa membelanjakan sehingga 40 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang. -BERNAMA

Artikel Lain