suria

Malaysia Guna Fosim Pantau Kemasukan Produk Tercemar

KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki sistem yang tegas dan sistematik iaitu Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM) bagi memantau kemasukan produk makanan dari luar negara agar ia tidak tercemar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata hanya produk makanan yang lulus pemeriksaan oleh pegawai di peringkat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sahaja akan dibenar untuk dipasarkan di negara ini bagi menjamin keselamatan pengguna.

"Pihaknya akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas terhadap semua makanan import termasuk dari Taiwan di bawah sistem itu di semua pintu masuk ke negara ini.

Produk yang tidak menepati Tahap Lima (berdasarkan sistem itu) akan dikembalikan dan dilupuskan di negara asal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Insurans Kesihatan Antarabangsa anjuran bersama Institut Insurans Malaysia (MII) dan Persekutuan Insurer dan Reninsurer Afro-Asia di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai produk makanan dan minuman dari Taiwan yang dicemari Di (-2-ethylhexyl) Phthalate (DEHP) dan di-isononyl phthalate (DINP) dilarang masuk ke negara ini.

Beliau berkata pengguna tidak harus bimbang dengan tahap keselamatan produk makanan import di pasaran termasuk dari Taiwan berikutan pemantauan yang rapi dan kawalan ketat telah dikenakan ke atas makanan dari negara itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan pada Sabtu lepas berkata 10 produk makanan keluaran Taiwan disahkan tidak dicemari bahan kimia terbabit selepas dianalisis oleh Kementerian Kesihatan.

Produk tersebut ialah Manggo Agar Pudding, Seaweed De Vinegar Drink, Plum Active Vinegar Drink, Peach Health Vinegar Drink, Grape Vinegar Drink, Plum Extract Jelly, Sliced Cheese, Assorted Fruit Flavour Jelly, Ruby Red Grapefruit Drink dan Orange Vinegar Drink.

Mengenai Garis Panduan Penjualan Makanan di Sekolah, beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi melaksanakannya dalam tempoh yang terdekat.

"Kita hanya menunggu keputusan Kementerian Pelajaran setelah mengemukakan cadangan makanan yang dikategori sebagai tidak sihat dilarang dijual di kantin sekolah dan garis panduan itu akan dilaksanakan apabila diluluskan kelak," katanya.

Konvensyen selama dua hari itu yang bermula hari ini disertai 15 pakar dalam bidang penjagaan kesihatan dan insurans kesihatan dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Sri Lanka dan Hong Kong bagi mempersiapkan industri penjagaan kesihatan dalam menghadapi cabaran pembangunan dan trend terbaru dalam industri itu. -BERNAMA

Artikel Lain