suria

Malaysia Cadang Kongsi Aktiviti Ekonomi Di Laut China Selatan - Zahid

SINGAPURA: Malaysia mencadangkan penubuhan jentera kegunaan khas (SPV) bagi berkongsi kegiatan ekonomi di Laut China Selatan pada kalangan negara menuntut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencadangkan kepada negara terbabit agar mewujudkan perbincangan pelbagai hala, bukan dua hala.

"Jika diterjemahkan cadangan itu, kami mahu meneroka sumber semula jadi terutamanya hidrokarbon, untuk dikongsi pada kalangan negara yang menuntut.

"Kita boleh menubuhkan sebuah SPV bagi berkongsi bukan saja daripada segi ekuiti tetapi juga penerokaan sumber semula jadi," katanya pada sesi soal jawab, hari terakhir Sidang Kemuncak Keselamatan Asia: Dialog Shangri-La, anjuran Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS), di sini pada Ahad.

Brunei, China, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam masing-masing mempunyai kepentingan ke atas kepulauan Spratly di Laut China Selatan. Semua negara terbabit kecuali Brunei, menempatkan pasukan keselamatan di kawasan itu.

Ahmad Zahid berkata: "Petunjuk prestasi utama kita bukan berasaskan berapa banyak peperangan yang kita menangi tetapi berapa banyak yang dapat kita elak.

Justeru katanya, dialog pelbagai hala yang dicadangkan Menteri Pertahanan China Jen Liang Guanglie dan Najib itu amat penting untuk menyelesaikan sebahagian daripada permasalahan berbangkit.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata isu kedua yang wujud ialah tuntutan hak ke atas wilayah yang timbul bukan disebabkan perpecahan tetapi kerana nilai ekonomi wilayah terbabit.

Beliau memberi contoh kegiatan perikanan yang menimbulkan masalah kepada Malaysia dan negara jiran.

Menyentuh isu antara nelayan dan pegawai penguat kuasa, Ahmad Zahid berkata seorang rakannya secara berseloroh memberitahu beliau bahawa ikan tidak perlukan visa atau pasport untuk menyeberangi sempadan.

"Nelayan akan pergi ke kawasan yang ada ikan, dan dalam kes ini saya fikir apa yang perlu kita lakukan ialah berkongsi kegiatan ekonomi bukan mengambil tindakan keras untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau berkata Indonesia dan Malaysia misalnya, menggunakan prosedur operasi standard untuk menyelesaikan masalah membabitkan nelayan kedua-dua negara.

Perkara itu katanya, dicapai menerusi komitmen Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Najib untuk kedua-dua negara berkongsi sumber semula jadi agar tidak timbul masalah lain. - BERNAMA

Artikel Lain