suria

Kes Felda Saman Bekas Timbalan Menteri 17 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Jun ini untuk mendengar permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi mendapatkan butiran lanjut daripada Bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan dan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong mengenai mesyuarat yang didakwa dihadiri oleh Perdana Menteri dalam saman fitnah RM200 juta Felda terhadap Tan.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut pada Isnin, selepas berjumpa dengan peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Felda manakala Tan diwakili oleh peguam Jason Teh pada prosiding pengurusan kes tersebut.

Mod Hafarizam yang turut bertindak bagi anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd memberitahu, permohonan tersebut adalah untuk mendapatkan butiran seperti tarikh dan tempat mesyuarat tersebut diadakan, seperti yang didakwa berlaku oleh Tan.

Tan, 64, yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 6 September 2008 setelah melepaskan semua jawatan dalam parti Gerakan disaman ekoran pendedahan dalam surat terbukanya yang mendakwa Felda bankrap.

Felda dan Felda Global selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 25 Januari lalu.

Tan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR merupakan individu kelima yang berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana didakwa telah memfitnah Felda.

Beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri daripada tahun 1999 sehingga 2004 dan juga seorang Ahli Parlimen Segambut pada tahun 1995 hingga 2004.

Plaintif berdasarkan pernyataan tuntutannya mendakwa, Tan yang dinamakan sebagai defendan telah memfitnah Felda berhubung perjalanan perniagaan mereka dalam temuramah oleh seorang wartawan akhbar Suara Keadilan, Faizal Zakaria beberapa hari sebelum 22 Jun 2010.

Menurut plaintif, Tan mengetahui bahawa pernyataan fitnah yang dibuat kepada wartawan terbabit sepanjang temuramah berlangsung akan disiarkan dalam akhbar milik parti pembangkang tersebut.

Dakwa plaintif, akhbar itu dalam keluaran bertarikh 22-29 Jun 2010 telah menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam berita utama muka depan bertajuk Felda Bankrap dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran yang sama.

Sebuah lagi artikel dalam edisi yang sama dengan keterangan di muka surat pertama bertajuk 'Kontroversi' berserta gambar dan sambungannya di muka surat 3 bertajuk 'Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu' yang turut didakwa mengandungi perkataan fitnah.

Plaintif seterusnya mendakwa, fitnah serius oleh defendan boleh menyebabkan penghinaan dan mengaibkan kedua-duanya di khalayak ramai, masyarakat negara ini dan luar negara selain mendatangkan kerugian yang maksimum.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM200 juta termasuk ganti rugi keterlaluan, teladan untuk fitnah bertulis atau kepalsuan berniat jahat dan mudarat.

Turut dituntut ialah faedah pada kadar lapan peratus setahun atas ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh serta injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada bercakap atau menerbitkan perkataan fitnah secara lisan atau di media cetak atau Internet.

Artikel Lain