suria

Kementerian Sedia Bantu Pengusaha Nurseri Di Sungai Buloh - Noh Omar

KAJANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia memberi bantuan kepada pengusaha-pengusaha nurseri di Sungai Buloh akibat Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi tanah di situ tidak diberikan kepada mereka sebaliknya kepada Yayasan Selangor.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata bantuan itu termasuk penyediaan tapak yang sesuai untuk mereka terus mengusahakan perniagaan masing-masing.

"Saya minta persatuan ini jika hadapi masalah tapak, saya sedia berunding dan berusaha tengok jika ada tanah di bawah kementerian yang ada kerana memang perancangan kementerian nak buat pameran bunga ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Hulu Langat di sini Ahad.

Baru-baru ini kira-kira 52 pengusaha nurseri mengadakan tunjuk perasaan di "laluan hijau" Sungai Buloh membantah keputusan kerajaan negeri menolak permohonan mereka mendapatkan TOL.

Mereka berkata setiap daripada pengusaha itu mungkin mengalami kerugian hingga RM500,000 jika mereka dipindahkan dari situ. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata TOL diberikan kepada badan milik kerajaan itu kerana "ia mempunyai pengalaman 30 tahun dalam pengurusan harta".

Noh berkata kerajaan Selangor diibaratkan seperti tikus membaiki labu kerana tidak menghargai apa yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini.

"Bagi kementerian kita lihat industri bunga salah satu industri kita beri keutamaan. Malah kita nak buat promosi bunga ini. Jika kerajaan negeri utamakan kepentingan rakyat, ia tidak akan ambil tindakan seperti ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain