suria

Curi Motosikal: Lima Lelaki Termasuk Tiga Pelajar Ditahan Polis

ALOR SETAR: Lima lelaki termasuk tiga pelajar sekolah ditahan polis kerana mencuri motosikal di sekitar Alor Setar sejak Januari tahun ini.

Suspek pertama berumur 14 tahun ditahan polis pada 26 Mei lepas kira-kira pukul 3.15 pagi. Suspek ditangkap oleh orang ramai ketika cuba mencuri sebuah motosikal di Anak Bukit di sini sebelum polis datang menahannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner (ACP) Adzaman Mohd Jan berkata setelah siasatan dilakukan terhadap suspek pertama, polis berjaya menahan empat lagi rakan suspek yang berumur 13 hingga 19 tahun.

"Semua suspek itu ditahan atas kesalahan yang sama dan hasil siasatan, polis kberjaya menemui empat rangka motosikal iaitu dua rangka motosikal jenis Honda C70 dan dua lagi jenis Honda EX5. Kita turut menjumpai sebuah enjin motosikal EX5," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata rangka-rangka motosikal itu dijumpai di dalam semak di belakang rumah suspek-suspek dan sebuah rangka motosikal dijumpai di tali air di Anak Bukit.

Dalam kes berasingan, Adzaman berkata pada 17 Mei, polis menahan seorang lelaki berumur 26 tahun kerana terlibat dengan 21 kes rompakan di sekitar daerah Kota Setar.

Beliau berkata suspek yang berasal dari Kulim itu terlibat dengan kes pecah rumah dan curi dalam bangunan sejak Januri lepas dan telah mengaut keuntungan kira-kira RM30,000.

"Semua barang yang dicuri oleh suspek telah dijual kepada pengedar dadah dan pajak gadai di sekitar bandaraya Alor Setar, Butterworth dan Seberang Jaya (Pulau Pinang) serta Shah Alam, Selangor," katanya.

Berikutan tangkapan suspek, polis berjaya menahan empat lagi rakan suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita berumur 20 hingga 40 tahun yang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli dan gadai barang curi.

"Suspek adalah seorang penagih dadah dan mempunyai tujuh rekod jenayah melibatkan kes dadah, pecah rumah dan curi motosikal," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain