suria

Pengurus Kedai Jam Tangan Ditemui Mati Dengan Tangan Dan Kaki Terikat

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus sebuah kedai jam tangan di sebuah kompleks membeli belah di sini, ditemui mati dengan keadaan tangan dan kakinya terikat serta lehernya dijerut di rumahnya di Tingkat 8, Pangsapuri Pandan Utama di sini, Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supritendan Md Nazri Zawawi berkata Ng Kim Loong, 45, ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas katil bilik tidurnya dengan tangan dan kakinya diikat dengan tali langsir dan lehernya dijerut dengan baju, kira-kira pukul 8.57 pagi ini.

"Mangsa yang berpakaian baju-T dan berseluar pendek juga ditemui dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dan mukanya, dipercayai kerana bergelut dengan suspek.

"Dia (mangsa) ditemui oleh ibunya yang datang ke rumah anak bujangnya pagi ini untuk mengutip kain baju mangsa untuk dibasuh," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Ahad.

Nazri berkata ibunya yang berumur 60-an terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan di pangsapuri tersebut sebelum menghubungi polis.

"Polis percaya suspek lebih dari seorang dan dikenali mangsa. Ini kerana tiada kesan pecah atau umpil pada pagar rumah mangsa yang dikunci kemas ketika ibunya tiba di rumah tersebut," katanya sambil menambah keadaan di dalam rumah tersebut turut bersepah.

Nazri berkata siasatan kini tertumpu kepada beberapa penyewa di dua bilik yang lain di rumah itu, yang menghilangkan diri sejurus kejadian.

Nazri berkata mangsa yang masih bujang menginap di rumah yang dibelinya itu sejak lima tahun lalu.

Penyewa dua bilik itu dipercayai warga asing, katanya.

Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain