suria

Pemimpin Perlu Elak Tindakan Yang Undang Perpecahan - Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Ahad meminta semua pemimpin agar mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh mengundang perpecahan masyarakat.

Titah baginda setiap tindakan perlu mencerminkan sesuatu yang boleh membawa perpaduan, penyatuan dan pengukuhan jati diri.

Bertitah melancarkan sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Perlis yang bertemakan "Kesederhanan dan Keakraban Asas Perpaduan" di Taman Merdeka di sini pada Ahad, baginda bertitah kepimpinan dalam semua perkara termasuk sukan harus mengutamakan perpaduan.

Tuanku Syed Faizuddin juga mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum agar berfikiran matang dan tidak mencetuskan pertelingkahan yang hanya membawa kesan negatif kepada keharmonian negara.

Baginda juga menasihatkan ibu bapa agar menekankan aspek pemupukan perpaduan pada kalangan anak-anak mereka. Raja Muda Perlis itu turut menyarankan rakyat agar sentiasa menganjurkan kegiatan percambahan minda untuk merancang kegiatan kejiranan bagi mengelakkan perpecahan.

Jangan ada individu yang bersikap menyendiri tanpa menyertai kegiatan yang memupuk perpaduan, titah baginda.

Minggu Perpaduan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ke-68.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis Ahmad Bakri Ali yang mewakili Menteri Besar Perlis serta Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain