suria

Pekerja Kuari Terbunuh Selepas Ditimbus Tanah Runtuh

IPOH: Seorang pekerja kuari terbunuh selepas ditimbus tanah runtuh ketika mangsa bersama dua rakannya sedang membina tembok di kuari berkenaan yang terletak berhampiran Jalan Ipoh-Lumut, dekat sini Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, cerun tanah setinggi tiga meter tiba-tiba runtuh lalu menimbus Chau Wai Mun, 48, yang sedang mengikat dawai kerangka besi bagi membina tembok penahan cerun tanah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supritendah Ibrahim Abu Bakar berkata runtuhan itu menimbus keseluruhan tubuh Chau namun dua rakannya sempat menyelamatkan diri.

Berikutan kejadian itu, pekerja di situ cuba menyelamatkan mangsa dengan menggali tanah mengunakan tangan sebelum dibantu jentera namun gagal.

"Mayat mangsa hanya berjaya dikeluarkan kira-kira jam 4.30 petang sebelum pihak kuari membuat laporan di Balai Polis Lahat," katanya ketika dihubungi.

Ibrahim berkata Chau berasal dari Sungai Pari 4, Buntong, dekat sini. Mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain