suria

PAS Sanggup Gadaikan Perjuangan Asal Demi Kuasa - Ketua Pemuda Umno

GEORGE TOWN: PAS sanggup menggadaikan perjuangan asalnya untuk menubuhkan negara Islam semata-mata ingin mengejar kuasa, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau, berkata sebaliknya, Umno sebagai parti dengan perjuangan asalnya iaitu demi agama, bangsa dan negara, tidak akan berbuat seperti apa yang dilakukan oleh PAS.

Beliau berkata PAS yang selama ini konsisten memperjuangkan penubuhan negara Islam, secara tiba-tiba sanggup mengetepikan prinsipnya semata-mata hendak menjadi rakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang demi mencapai cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya.

"Kita (Umno) tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan asal iaitu untuk agama, bangsa dan negara, kami akan terus berjuang mengikut prinsip berkenaan demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jelutong di sini Ahad.

Dalam pemilihan PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewar, Kuala Lumpur semalam, golongan bukan ulama menguasai kepemimpinan PAS Pusat dengan menyapu bersih jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta lebih separuh daripada 18 kerusi Anggota Jawatankuasa Pusat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya dalam pemilihan tersebut menegaskan belum tiba masanya parti itu menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangannya selama ini, sebaliknya ia mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan pakatan pembangkang.

Sementara itu, di MARAN, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata matlamat PAS dalam memperjuangkan agama Islam dilihat semakin kabur dengan pemilihan barisan pemimpin baru parti itu.

Katanya kepimpinan baru itu sekadar cuba meraih sokongan sementara rakan mereka dalam pakatan pembangkang bagi mencapai matlamat menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

"Sebelum ini perjuangan parti itu konsisten, selari dengan asas penubuhannya tetapi saya sendiri tertanya-tanya, malah ada ahli parti itu sudah tertanya-tanya sama ada perjuangan parti itu masih sama seperti dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Maran, Ahad.

Hishammuddin berkata ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak menyentuh hala tuju parti itu sebaliknya hanya menyerang Umno dan BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain