suria

Nasib PKR, Hakim Mohamad Zabidin Serupa Tapi Tak Sama

PENDAFTARAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang ini umpama telur di hujung tanduk ekoran tindakan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) telah mengeluarkan notis tunjuk sebab mengapa pendaftaran parti tersebut tidak boleh dibatalkan.

Notis yang dikirimkan kepada sekretariat parti pada 9 Mei lalu menyatakan parti tersebut telah melanggar Fasal 32.2.1 Undang-Undang Berdaftar Parti kerana dikatakan telah memecat A. Rajagopal tanpa dibicarakan oleh Lembaga Displin.

Dengan pengeluaran notis tersebut, PKR diberi tempoh masa sehingga sebulan, iaitu sehingga 9 Jun ini untuk menjawab notis tersebut.

Bagaimanapun, notis itu terlebih dahulu 'dijawab' oleh Setiausa Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail pada 19 Mei lalu melalui sidang akhbar - yang disifatkan sebagai 'tidak manis' oleh Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman.

PKR kini memilih mahkamah sebagai saluran untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan ROS tersebut.

Permohonan tersebut difailkan pada 31 Mei lalu dan dijadualkan akan didengar pada 8 Jun ini, hanya sehari awal daripada tempoh masa yang diberikan ROS untuk PKR menjawab notis itu.

Justeru itu, PKR turut memohon agar satu perintah dikeluarkan untuk menghalang ROS daripada melakukan apa-apa tindakan sehingga kes tersebut diselesaikan.

PKR selaku pemohon, bersama dengan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Saifuddin Nasution mendakwa notis tersebut mengelirukan kerana tiada ahli mereka yang bernama A. Rajagopal.

Sebaliknya, yang dipecat adalah A. Jayagopal yang telah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Selambau tanpa kebenaran parti dan turut menentang calon PKR.

Tidak diketahui adakah Rajagopal dan Jayagopal ini adalah individu yang sama, kerana mungkin berlaku kesilapan menaip atau mungkin yang dimaksudkan adalah dua individu berbeza, walaupun kedua-dua hujung namanya diletakkan sebagai a/l Andaikkalam.

Bagaimanapun, sekiraya Jayagopal individu yang dimaksudkan oleh ROS, semua pemohon mendakwa ahli tersebut telah melanggar Pekeliling Setiausaha Agung bertarikh 11 Mac 2009 yang memutuskan mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran boleh dipecat serta-merta tanpa merujuk kepada ahli terbabit.

Selain itu, pemohon juga mendakwa notis tersebut sebenarnya berniat jahat untuk menghalang parti tersebut daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Malah, seorang daripada peguam yang mewakili PKR, N. Surendran menyamakan tindakan tersebut sebagai taktik yang digunakan oleh rejim Junta tentera Myanmar yang mengharamkan Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) yang dipimpin oleh pemimpin prodemokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi.

Jika parti tersebut dibatalkan, 404,558 ahlinya termasuk 26 Ahli Parlimen akan menjadi individu yang tidak berparti - yang disifatkan sebagai tidak adil oleh Surendran kerana ia hanya berpunca daripada seorang ahli yang telah dibuang pada tahun 2009.

Mungkin mereka ini boleh memilih sama ada mahu menyertai parti-parti yang telah sedia ada, atau menubuhkan satu lagi parti atau langsung tidak berparti.

Liwat II

Minggu lalu juga menyaksikan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan agar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes liwatnya.

Kes tersebut telah memasuki peringkat pembelaan dan Anwar juga dijadualkan memberi keterangan pada Isnin ini, bagaimanapun ia berkemungkinan besar dimulakan dengan permohonan baru itu.

Ini merupakan permohonan kali ketiga Anwar, yang sebelum ini membuat permohonan sama dengan menggunakan dua alasan yang berbeza.

Permohonan kali pertama dibuat pada 10 Februari 2010 atas alasan hakim itu berat sebelah kerana tidak melayan permohonannya agar suratkhabar yang didakwanya proUmno, Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana dua artikel yang diterbitkan.

Selepas gagal kali pertama, Anwar membuat permohonan kedua pada 25 November 2010 atas alasan hakim tersebut cuba mengugut peguam utamanya, Karpal Singh dengan tindakan menghina mahkamah.

Dan untuk kali ketiga, ia dibuat pula dengan alasan hakim berkenaan telah membuat pra-penghakiman dan berat sebelah sehingga menyebabkan beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Justeru itu, Anwar turut memohon agar kes tersebut yang telah dipertuduhkan pada 7 Ogos 2008 manakala perbicaraan dimulakan 3 Februari 2010 dibicarakan semula (de novo).

Ada yang mengatakan bahawa ini satu lagi percubaan Anwar untuk melengah-lengahkan perbicaraan dan cakap-cakap ini dibantah oleh peguam-peguam yang mewakili Anwar.

Menurut mereka, permohonan tersebut yang difailkan pada 3 Jun - hanya tiga hari sebelum prosiding mahkamah dijadualkan bersambung - ekoran kesukaran untuk mendapatkan nota prosiding walaupun permohonan bertulis telah dibuat.

Persoalannya, jika perbicaraan tersebut diadakan semula, adakah ia akan mengambil masa yang panjang sebegini?

Secara kasar, sejak dipertuduhkan, ia telah memakan masa selama tiga tahun dan itu hanya diperingkat pendakwaan, belum dikira berapa lama masa diperlukan untuk beliau membela diri.

Sekarang ini sudah memasuki pertengahan tahun 2011 dan jika dibenarkan 'ulang tayang' dihadapan hakim yang lain,, adakah kes pendakwaan hanya akan akan tamat pada 2014?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain