suria

Mustapa Akan Tonjolkan Daya Tarikan Pelaburan Malaysia Di Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menonjolkan daya tarikan Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan di Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-tujuh di Astana, Kazakhstan dari 7-9 Jun.

WIEF bermatlamat meningkatkan kerjasama ekonomi dan perkongsian perniagaan di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Tema forum tahun ini ialah "Pertumbuhan Global: Hubungan, Persaingan dan Kerjasama," kata MITI dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mustapa akan turut bercakap mengenai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini, yang termasuk Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) semasa forum antarabangsa itu.

Forum tiga hari itu yang melibatkan penyertaan Ketua-Ketua Negara dan Menteri-Menteri juga termasuk sesi khusus bagi ahli-ahli perniagaan wanita dan para pemimpin golongan muda serta satu pameran.

Penyertaan di forum itu mencerminkan keinginan kukuh Malaysia untuk meningkatkan perdagangan dan pemahaman antara negara anggota OIC, kata MITI.

Sehingga ini, sejumlah 11 syarikat Malaysia yang mewakili pelbagai industri akan mengambil bahagian di dalam pameran berkenaan.

Perdagangan keseluruhan Malaysia dengan negara-negara OIC meningkat kepada US$12.2 bilion antara Januari dan Mac tahun ini daripada US$8.1 bilion pada tempoh yang sama 2010.

Antara produk utama ialah minyak sawit, petroleum dan produk petroleum, peralatan telekomunikasi dan jentera elektrik.

Pelaburan keseluruhan oleh negara-negara OIC di Malaysia berjumlah US$4.8 bilion daripada 1980–2010 dengan Indonesia, Iran, Emirah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Lebanon dan Arab Saudi merupakan pelabur utama, kata MITI. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain