suria

Muktamar Tahunan PAS: Pemuda Mahu Kuota 40 Peratus PRU-13

GOMBAK: Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) pada Ahad mahu sayap itu diberi kuota peruntukan kerusi sebanyak 40 peratus kepada generasi muda sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13.

Ketuanya, Nasaruddin Hassan Tantawi berkata sudah tiba masanya membuat perubahan dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk membawa suara mereka di peringkat lebih tinggi dalam memperjuangkan isu-isu nasional dan tempatan.

“Kita perlu mengambil kira kepentingan rakyat terutamanya generasi muda. Oleh itu, kita perlu memberi ruang kepada mereka untuk menjadi calon.

“Saya dengan itu meminta kepimpinan parti memberi peruntukkan sebanyak 40 peratus kerusi kepada generasi muda pada pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-57 di Markas PAS Taman Melewar, di sini, Ahad.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian segera ekoran kebangkitan suara golongan muda hingga menjatuhkan kerajaan sedia ada seperti yang berlaku di negara Asia Barat baru-baru ini.

Oleh itu, Nasaruddin berkata, PAS perlu mengubah mekanisme serta pendekatan mereka untuk mendekati generasi muda.

“Kita sudah tidak boleh gunakan risalah, kuliah yang diadakan di markas kita sahaja. Kita perlu keluar dari kepompong itu.

“Kita perlu menggunakan mekanisme yang boleh menyentuh hati golongan muda untuk mendekati Islam. Mesej PAS disampaikan secara menyeluruh supaya ia dekat dengan hati masyarakat,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain