suria

Muktamar Tahunan PAS: Parti Kami Bukan Eksklusif - Mahfuz

GOMBAK: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan tradisi parti dalam komponen Pakatan Rakyat itu bahawa mereka bukan parti eksklusif untuk golongan tertentu.

"Dalam tradisi PAS dari dulu lagi, kami memilih calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan disiplin ilmu. PAS sangat terbuka.

"Perlembagaan PAS tidak pernah menyebut parti ini ekslusif untuk mana-mana pihak sama ada profesional ataupun ulama kerana PAS merupakan parti untuk semua," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Menurut Mahfuz, perubahan yang berlaku dalam pucuk kepimpinan PAS membuktikan anggota parti itu sudah dapat menghayati semangat perlembagaan parti.

"Sokongan terhadap parti yg syumul itu dapat diterjemahkan perwakilan menerusi pemilihan itu. Mereka lebih mengutamakan kebolehan, kemampuan dan keupayaan yang ada pada setiap calon," jelasnya.

Mengulas mengenai kemenangan beliau mempertahankan jawatannya, Mahfuz bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menyambung tugas sebelum ini.

"Dari awal saya sudah kata tidak mahu pertahankan jawatan tapi saya menerima pencalonan daripada kawasan untuk menyambung tugas sebagai Naib Presiden," ujarnya.

Jelas beliau, pertarungan enam penjuru itu memberi ruang pilihan kepada perwakilan tetapi keputusan yang diumumkan pada Sabtu menunjukkan masih ada yang mahu melihat dirinya memegang jawatan tertinggi tersebut.

"Calon yang menyertai pertandingan ini hebat belaka. Saya beranggapan masih ada perwakilan mahukan saya dan Salahuddin mengekalkan jawatan serta Husam kembali menggalas tugas itu bagi meneruskan perjuangan PAS," jelasnya.

Ditanya mengenai pemimpin yang terpilih terdiri daripada mereka yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahfuz mengakui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara yang rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain