suria

Muktamar Tahunan PAS: Gesa Siasatan Diraja Siasat Kad Pengenalan Palsu

GOMBAK: PAS menggesa Pakatan Rakyat mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menggantung pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, yang dikaitkan pembangkang sebagai komplot pihak tertentu menjelang pilihan raya umum ke-13.

Perkara tersebut terkandung dalam usul berkaitan pemalsuan kad pengenalan yang diterima tanpa bahas oleh perwakilan PAS pusat pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-57 pada Ahad.

Usul itu mendakwa sejak dua tahun kebelakangan ini telah berlangsung projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutama kepada warga asing dengan tujuan untuk mendaftarkan pengundi warga asing.

Usul tersebut dibentangkan oleh wakil Dewan Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat. “Bagi membanteras perkara ini kita desak supaya satu Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi menyiasat dakwaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing untuk didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya umum. “Kita juga desak supaya JPN mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak 10 tahun kebelakangan ini mengikut negeri,” katanya ketika membentangkan usul tersebut pada hari terakhir muktamar di sini, Ahad.

Usul tersebut turut menggesa jentera PAS serta Pakatan Rakyat di setiap negeri dan kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain