suria

Muktamar Tahunan PAS: Abdul Hadi Tegas Tolak Wujud Kelompok Dalam Parti

GOMBAK: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tidak wujud kumpulan Erdogan dalam barisan kepimpinan parti itu.

Malah beliau turut menafikan wujud dua kumpulan dalam PAS iaitu antara ulama dan profesional seperti yang didakwa banyak pihak.

"Ada yang mengatakan bahawa kumpulan baru adalah Erdogan.

"Tapi saya katakan ini bukan Erdogan, ini Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat, Mursyidul Am PAS) dan Abdul Hadi Awang... ini Parti Islam Se-Malaysia (PAS)," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS ke-57 di sini, Ahad.

Pemilihan PAS pada Sabtu menyaksikan sebahagian besar kepimpinan baru parti itu dimonopoli oleh kumpulan bukan ulama terutama jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Mohamad Sabu yang berada di kelompok profesional.

Selain itu Abdul Hadi yang menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini berkata, keputusan berkenaan memperlihatkan kebijaksaan perwakilan dalam memilih barisan kepimpinan parti.

"Saya telah membuat culaan mengenali pemilihan kali ini, saya cula di kalangan mereka yang dipilih.

"Ada lapan daripadanya wakil dari kalangan kelulusan agama, dua orang doktor iaitu Dr Siti Mariah Mahmud dan Dr Mohd Hatta Ramli. Dr Mariah boleh berbahasa Arab dan Dr Hatta boleh bahasa Kelantan," katanya.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, di kalangan pimpinan baru parti itu juga terdapat dua adalah jurutera, seorang peguam, enam bekas pensyarah di samping dua aktivis masyarakat.

Malah menurut Abdul Hadi, Perlembagaan PAS juga memperuntukkan kuasa untuk melantik enam Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selain empat ahli Dewan Harian serta 14 Pesuruhjaya PAS negeri untuk berada dalam jawatan kuasa itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain