suria

Muhyiddin Turun Padang Sekitar Ibu Negara, Ahad

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjelajah sekitar ibu negara esok bersempena dengan program turun padangnya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut aturcara yang dikeluarkan pejabat Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin mempunyai jadual padat di mana pada 8.30 pagi, beliau akan bersarapan pagi 1Malaysia bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Batu bertempat di Taman Bullion Mewah bersebelahan Pejabat Umno Bahagian Batu.

Ini disusuli dengan tinjauan mesra di Kampung Pindah, Kampung Baru dan perjumpaan dengan pengundi di Flat Jalan Tun Razak, Kampung Baru.

Golongan pemandu teksi di Kuala Lumpur turut tidak ketinggalan di mana Muhyiddin akan beramah mesra dengan mereka di kedai makan Matahari, bersebelahan dengan Stesen Petronas Kampung Baru.

Pada tengah hari pula, Timbalan Perdana Menteri akan ke Pusat Islam untuk menghadiri Simposium Manhaj Bandar bersama pengerusi jawatankuasa masjid dan surau seluruh Kuala Lumpur, diikuti dengan solat Zohor di Masjid Negara.

Beliau kemudiannya akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk mengadakan perjumpaan dengan anggota polis.

Aturcara Muhyiddin seterusnya ialah mengadakan tinjauan mesra di sekitar Jalan Masjid India untuk bertemu dengan peniaga, penjaja, pekedai daripada kaum Melayu dan India serta Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

Ini diikuti dengan majlis beramah mesra bersama penduduk di Lembah Pantai bertempat di kawasan lapang bersebelahan Pusat Komuniti Lembah Pantai.

Program turun padang itu akan diakhiri dengan Muhyiddin merasmikan Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 Kuala Lumpur 2011 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Cheras pada 8.30 malam.

Sebelum ini, dalam program turun padangnya, Muhyiddin melawat Pahang, Perlis dan Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain