suria

Mekanik Maut Diserang Sekumpulan Lelaki Di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL: Seorang mekanik maut selepas dipukul sekumpulan lelaki yang dipercayai membalas dendam di Tasek Mutiara, di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Deputi Supritendan Sharifudin Abdullah berkata dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, S.Vijinran, 24, yang baru selesai minum bersama seorang rakan didatangi empat lelaki.

"Salah seorang lelaki berkenaan memarahi dan menuduh mangsa memukul sepupunya sehingga cedera dalam satu kejadian pagi semalam, bagaimanapun Vijinran menafikannya.

"Berang dengan penafian berkenaan, kumpulan lelaki yang bersenjatakan parang itu bertindak memukul mangsa sehingga cedera parah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Ahad.

Sharifudin berkata saksi yang melihat kejadian kemudian menghubungi polis, dan Vijinran dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun Vijinran yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala mati ketika menerima rawatan di hospital tersebut, katanya.

Katanya ekoran kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 20 dan 25 tahun bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka kini direman sehingga 11 Jun bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain