suria

Tiga Bersaudara Terbunuh Dalam Nahas Jalan Raya Di Kinabatangan

KINABATANGAN: Tiga bersaudara terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas ketika mengelak jalan yang rosak di kilometer 100 Jalan Sandakan-Lahad Datu, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Supritendan Jaini Abdul Kadir berkata kemalangan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari apabila pemandu kereta itu, Datu Rozi Datu Eranza cuba mengelak jalan yang rosak, menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan terbalik beberapa kali sebelum melanggar sebatang pokok sawit di tepi jalan.

Mangsa yang terbunuh ialah Maslinah Datu Indal Bangsu, 39, iaitu isteri pemandu, Datu Ahmad Nazri Datu Eranza, 20, (adik pemandu) dan Nurjuhhuriah Abdul Kal, 23, (anak saudara pemandu).

Seorang lagi anak saudara pemandu, Shazrin Abdul Hissen, 12, patah kedua-dua kakinya manakala Datu Rozi, 37, hanya mengalami cedera ringan, katanya ketika dihubungi Sabtu.

Sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan balik dari Kota Kinabalu ke kampung mereka di Semporna.

Jaini berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat dan telah dituntut oleh anggota keluarga mereka hari ini untuk dikebumikan. - BERNAMA

Artikel Lain